Feb 25, 2011

mereka yang tidak berdosa

Assalamualaikum w.b.t. Satu salam yang penuh penghormatan ana tujukan khas buat semua pengunjung laman "kembara sufi'' - Fitrah Seorang Hamba". Sekudus doa ana panjatkan pada Rabbul Izzati agar semua pembaca budiman sentiasa berada di bawah lembayung rahmat Illahi. InsyaAllah. Untuk entry kali ini, ana taip kerana didorong oleh satu perasaan halus yang wujud dalam jiwaku. Perasaan kasih, sedih, sayang, terkilan, lara dan kecewa yang menyesak dalam dada. Perasaan yang tidak dapat ana tampilkan secara zahir untuk tatapan semua ini hadir setelah sekian lama mataku menyaksikan dalam lembaran kertas bercetak, dan telingaku mendengarkan dari suara penyampai hebat. Ana sedih dengan perilaku hamba yang Allah Taala kurniakan akal kepadanya, namun kurniaan itu seolah-olah tiada harga. Kes pembuangan bayi, dan penderaan zuriat yang lahir tanpa pernah mereka pinta, namun nasib mereka tetap tidak terbela. Pembaca budiman, kes-kes inilah yang ana sering tatap dalam majalah dan akhbar. Kes-kes ini jugalah yang sentiasa ana dengar dari corong radio atau dari penyampai berita yang disiar. Ana sedih, geram, marah dan terkilan dengan sikap segelintir insan yang cetek pemikiran ini. Mengapa begitu tega memperlakukan sedemikian pada zuriat sendiri? Pengunjung blog yang dirahmati, mari bersama hayati apa yang akan tersiar dari video yang ana kongskan bersama entry ini. Supaya kita dapat membandingkan nilai kasih sayang kita sebagai manusia dengan makhluk Allah yang ada dalam video ini. Hayati sejenak.









Perkara pertama yang ingin ana katakan setelah video ini disaksikan ialah, jangan sesekali kalian ketawa atau memandang rendah dengan apa yang telah tersiar. Walaupun darjat kita sebagai hamba lebih mulia dari haiwan lain di dunia ini, namun ana berani katakan bahawa pemberian sifat kasih sayang oleh Yang Esa terhadap hamba-Nya yang ada dalam diri makhluk Allah ini lebih dihargai. Kenapa? . Perilaku ini sungguh memberi satu tamparan hebat terhadap sikap manusia hari ini. Saudaraku sekalian, haiwan adalah makhluk Tuhan yang ada otak tapi tiada akal. Namun nilai kasih sayang yang ada padanya memang tidak dapat disangkal.

Hari ini, buka sahaja halaman akhbar, mataku dihidang dengan berita bayi yang dibuang. Sejak dahulu hingga sekarang, kes penderaan anak dan pembuangan bayi tidak pernah hilang. Apakah ia sudah menjadi budaya masyarakat sekarang..?? Kalau dah tak ingin sangat pada bayi yang dilahirkan, kenapa perlu dibuang tanpa belas kasihan..?? Di dalam hutan, di tengah padang, di dalam semak, di balik sampah. Bahkan ada yang dibakar. Yang buat ana menitiskan air jernih ialah berita bayi yang baru dilahirkan yang dibungkus dalam plastik hitam, kemudian dibuang jauh ke bawah bukit. Apabila dijumpai, hancur tubuh si bayi. Ya Rabbi. Mengapa perlu manusia hari ini dibelit dengan sikap yang keji..??

Di mana akal yang tuhan anugerahkan..?? Bukankah sudah dikata zina itu haram. Namun mengapa masih dilakukan..?? Apabila meninggalkan kesan, bayi yang lahir terus dibuang. Cuba hitung berapa dosa yang telah dijulang..?? Kerana dengan bangga melakukan sesuatu yang telah dicegah dan dihalang.

Untuk wanita-wanita yang ana sayang. Sesungguhnya wanita adalah hiasan dunia. Dan seindah hiasan adalah wanita yang solehah. Hiasilah peribadi kita dengan sifat malu. Jangan biarkan dirimu sewenang-wenangnya disentuh tangan-tangan rakus. Jangan relakan auratmu dipanah pandangan nafsu yang tajam bak belati menghunus. Umpama sebuah hadiah, bukankah lebih dihargai andai ia dibungkus rapi..?? Begitu juga kita sebagai wanita yang bakal bergelar isteri. Andai perhiasan dijaga hanya untuk suami, pasti akan lebih disayangi dan dihargai. Bahkan ganjarannya tidak mampu dibayangkan oleh kita sendiri.

Untuk setiap golongan lelaki. Jadilah pemimpin yang ada iman di dada. Penuh ilmu dalam jiwa. Supaya dapat membentuk wanita, menjadi pendamping setia yang terpandang mulia. Janganlah gunakan kekuatan yang ada untuk melakarkan pada wanita secalit noda. Wanita adalah hamba yang kurang berdaya mengatur langkah sendirian tanpa ada pemimpin bersamanya. Kerana itulah, lelaki didatangkan untuk mereka.

Ana amat mengharapkan agar tiada lagi bayi yang dibuang. Tiada lagi anak-anak kecil yang mengalami seksa penderaan. Namun harapanku ini bagaikan hanya akan tinggal harapan. Tidak takutkah semua insan yang bersalah ini dengan setiap balasan yang bakal datang..?? Anak-anak kecil yang dijemput Tuhan akibat penderitaan yang kita lakukan, mereka tidak akan melangkah masuk ke taman syurga selagi ibu bapa yang mendera mereka tidak menerima balasan setimpal. Ya Allah, betapa kejam hamba-Mu yang telah kau anugerahkan akal kepadanya. Bahkan ada janin yang dimasakkan dan dimakan bersahaja oleh segelintir manusia. Sudah kurang akal ke apa..?? Benci aku melihat semuanya.

Ana tidak kisah apa yang ingin pembaca budiman katakan selepas ini. Tapi kali ini, ana berani katakan, bahawa haiwan itu lebih penyayang. Seharusnya manusia mencontohi nilai kasih sayang yang ada pada haiwan ini. Walaupun masih ada manusia yang lebih penyayang sikapnya, namun yang membakar bayi sendiri, yang membuang janin sendiri, yang menyeksa zuriat sendiri, semuanya adalah MANUSIA.

Ya Rabbi, berikan petunjuk dan hidayah-Mu padaku dan pada setiap hamba-Mu yang telah khilaf dan melakukan kesalahan. Pimpinlah kami ke arah jalan-Mu yang diredhai. Ampunkan segala dosa-dosa kami yang tidak terhitung oleh kami sendiri. Kerana ampunan-Mu lebih besar dari setiap kesalahan insan walau dosanya meliputi seluruh langit dan bumi. Amiinn..

STRIVE FOR MARDHATLLAH

No comments: